| Tarikh Program | 16-06-2026 |
16 Jun 2026, Sabah - Kementerian Perpaduan Negara melalui Jabatan Perpaduan
Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) telah mengadakan Program Dialog Harmoni Peringkat Kebangsaan 2026. Majlis perasmian dialog telah disempurnakan oleh YB Datuk Aaron Ago Dagang, Menteri Perpaduan Negara, hari ini.
Program Dialog Harmoni menyediakan platform interaksi yang berstruktur, inklusif dan berhemah dalam kalangan masyarakat berbilang agama, khususnya golongan mahasiswa, serta berperanan sebagai ruang selamat (safe space) untuk perkongsian pandangan secara terbuka. Meningkatkan keharmonian antara penganut agama merupakan salah satu agenda penting yang telah diketengahkan dalam hala tuju kementerian menerusi ikhtiar Harmoni MADANI, selaras dengan aspirasi nasional untuk membangunkan sebuah masyarakat yang bersatu padu, inklusif dan sejahtera di bawah kerangka Malaysia MADANI.
YB Datuk Aaron Ago Dagang, Menteri Perpaduan Negara berkata, Dalam konteks Malaysia yang berbilang agama dan budaya, dialog merupakan jambatan yang menghubungkan kepelbagaian kepada perpaduan. Dialog antara agama merupakan satu proses komunikasi yang membolehkan komuniti daripada pelbagai penganut agama saling mengenali, memahami, menghormati dan membina kepercayaan”.