9 Jun 2026, Kuala Lumpur - Mesyuarat Majlis Penasihat Perpaduan Negara (MPPN) Bilangan 1 Tahun 2026 telah dipengerusikan oleh YAB Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof, Timbalan Perdana Menteri. Mesyuarat turut dihadiri oleh YB Datuk Aaron Ago Dagang, Menteri Perpaduan Negara serta 12 orang ahli majlis yang terdiri daripada tokoh-tokoh masyarakat pelbagai latar belakang.
Mesyuarat menjunjung kasih dan menyambut baik titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang menegaskan bahawa Rukun Negara wajib dihayati oleh setiap rakyat Malaysia sebagai asas kepada kemakmuran negara, kestabilan politik serta keharmonian masyarakat majmuk.
Selaras dengan aspirasi pembinaan negara bangsa, ahli-ahli MPPN menegaskan bahawa usaha memperkukuh perpaduan nasional perlu terus diperkasa berteraskan Perlembagaan Persekutuan, Rukun Negara dan Dasar Perpaduan Negara, khususnya dalam mendepani cabaran polarisasi sosial, penyebaran maklumat tidak sahih dan disrupsi digital yang semakin kompleks.
Bagi menyemai penghayatan Rukun Negara dan memperkukuh jati diri generasi muda sebagai pewaris negara bangsa, Kementerian Perpaduan Negara telah melaksanakan pelbagai program strategik termasuk Gerak Integrasi Perpaduan, Jelajah Belia Rukun Negara, Pidato Rukun Negara dan Arkib@Sekolah.
